Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
TUTONG, Isnin, 23 Februari. - Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah, Membaca Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 diadakan serentak di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan beberapa buah masjid sebagai tumpuan mengikut daerah-daerah.
Di Daerah Tutong, tumpuan majlis kesyukuran tersebut berlangsung di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah, diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat yang diimamkan oleh imam masjid tersebut, Awang Mohammad Waiz bin Tajudin.
Sementara itu, bacaan Surah Yaa Siin dipimpin oleh imam masjid tersebut, Awang Sahibul Omar bin Haji Yusof, manakala bacaan Doa Kesyukuran sempena menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-42, dipimpin oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Azman bin Haji Musa.
Turut hadir, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub selaku Penghulu Mukim Ukong, Daerah Tutong, dan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku Ketua Kampung Sengkarai, Daerah Tutong; Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri; penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Tutong.